Wednesday, January 4, 2012

2012 & aku

Tahun 2011 sudah beberapa hari melabuhkan tirainya dan kini tahun 2012 membuka lembaran baru. Kini aku semakin menginjak ke usia yang agak matang. Pandangan kini berubah. Tinggal beberapa ketika lagi larian pendidikanku bakal menuju ke garisan penamat. Namun, semakin ia menghampiri ke garisan itu, semakin lebat aku dihujani dengan cabaran dan halangan. Semua menggamit perhatianku agar memperlahankan larian ke garisan itu.

Baik dari segi kerjaya, percintaan. Ianya silih berganti mengganggu kotak fikiranku. Lantas, apa yang perlu aku lakukan? Adakah aku akan tenggelam atau terus membanting segenap kederatku untuk berenang ke tepian. Memarkirkan diriku setelah bertahun bergelumang dengan arus dan ranjau pilihan hidupku ini. Satu pilihan yang melibatkan percaturan yang tinggi.

Dalam segala kepayahan yang mengikat kakiku ini, aku bersyukur kerana masih mampu melawan dan berjuang hingga ke akhir. Barangkali tanpa azam dan kecekalan yang sekeras waja, mustahil untuk aku terus bertahan. Apatah lagi bukan calang-calang orang yang mampu menyudahinya. Adakah aku akan termasuk di dalam golongan itu?

Bila kutoleh kembali kepada tahun-tahun yang telah kutinggalkan, sememangnya terlalu banyak kenangan pahit dan manis telah menghiasi setiap perjalananku. Baik pengalaman sepahit hempedu mahupun pengalaman yang manis bak madu. Semua dirojakkan menjadi satu variasi yang mendewasakanku. Dan aku teramat bersyukur dengan segala pengalaman itu, dek kerana itu aku menjadi diriku.

Acapkali orang memujiku, dan sebanyak juga orang yang membenciku. Aku sedar, kekhilafanaku tidak mampu untuk menyenangi hati semua pihak. Namun, aku cuba menjadi lebih baik dari semalam, dan juga aku akan berusaha supaya hari esok akan menjadi lebih baik dari hari ini. Benar, setiap yang berlaku ada hikmahNya. Sebagai manusia yang tahu berfikir, dia takkan menyalahkan takdir. Sebaliknya akan berfikir mungkinkah ada kesilapan yang tidak kita sedari maka kita diberi ujian yang sedemikian. Ataupun untuk menguji sejauh mana tekad kita. Aku berharap aku akan sentiasa menjadi manusia yang tahu bersyukur dan menghargai nikmat itu.

Mungkin coretan aku pada malam ini agak serius kedengarannya. Kali ini aku ingin meletakkan akalku di tempat yang sebetulnya. Walaupun agak sukar kerana keterbiasaan itu sudah sebati dalam diri namun, selagi mampu berusaha ke arah itu, aku akan buktikan. InsyaAllah..

No comments: